“Ya Unaaais, kamu buat apa tu??? Apakah kamu
sudah lakukan apa yang aku suruh?” Sapaan lembut mengejutkan Anas yang sedang
leka bermain. Anas sepatutnya ke pasar membeli barangan yang dipesan oleh Baginda
Rasulullah s.a.w. Di pertengahan jalan, Anas terserempak dengan sekumpulan
kanak-kanak yang sedang bermain. Tergoda dengan ajakan rakan, Anas yang ketika
itu berusia 10 tahun lantas berhenti dan ikut bermain langsung terlupa tujuan
asal beliau untuk ke pasar. Menunggu Anas yang tidak kunjung pulang, Baginda Rasulullah
s.a.w mulai risau dan menyusul mencari anak suruhannya itu. Bukan rasa marah
tapi kelegaan apabila melihat Anas yang asyik bermain menyebabkan terpacul dari
mulut beliau “Ya Unaaais” nama panggilan manja penuh kasih beliau buat Anas.
Aisyah Ummul Mukminin pernah meminta Rasulullah
s.a.w mendoakan beliau. “Doakan daku ya Rasulullah,”pinta Aisyah manja. Baginda
al-Rasul lantas mengangkat tangan lalu berdoa “ Ya Allah, ampunilah Aisyah.
Ampunilah segala dosanya yang lepas. Ampuni dosanya yang akan datang. Ampunilah
kekhilafan yang dia lakukan secara terang-terangan. Ampuni kekhilafan yang dia lakukan
secara sembunyi. Ya Allah Ampunilah Aisyah Ya Allah. Sesungguhnya Engkau yang
Amat Mengetahui lagi Maha Pengampun dosa”. Menerima doa dari Rasulullah s.a.w, membuatkan
Aisyah merasa amat istimewa. Aisyah lantas memeluk Baginda dengan rasa hati
berbunga-bunga penuh gembira. Rasulullah s.a.w seterusnya berkata “Ya Aisyah,
sesungguhnya itulah juga doa yang aku pinta buat setiap seorang umatku. Doa
yang ku sebut-sebut untuk setiap orang dari umatku dan ku pinta setiap kali
usai solatku.”
Pernah diceritakan pada suatu ketika Baginda
membaca suatu ayat dalam AL-Quran yang menceritakan tentang kemurkaan Allah
kepada umat nabi terdahulu. Baginda al-Rasul telah menangis teramat sangat
sehingga Allah memanggil Jibril untuk turun bertanya apakah yang menyebabkan
Baginda menangis. Setelah itu Jibrail naik bertemu Allah membawa
jawapan Rasulullah s.a.w "Ya Allah, sesungguhnya kekasihMu Muhammad merasa amat risau akan nasib umatnya. Apakah
mereka nanti akan mengalami nasib yang sama sebagaimana yang ditimpakan Allah
terhadap umat nabi yang terdahulu. Kerisauan itu membuatkan Baginda menangis tidak tertahan-tahan". Lalu Allah berkata “Wahai Jibrail, turun dan
usaplah air mata kekasihKu dan khabarkan kepadanya bahawa Aku akan membuatnya
gembira dengan umatnya. Tidak akan Aku izinkan umat yang lain menjejaki syurgaKu
sehinggalah habis seluruh umatnya masuk ke syurgaKu”
Di Hari Pembalasan nanti, semua manusia akan
mencari-cari dan mengutip-ngutip amalan soleh hatta yang kecil-kecil dan
tersembunyi. Kenapa? Kerana untuk memastikan timbangan kanan lebih berat. Kalau
boleh dituntut amalan dari orang lain, maka dituntutnya. Manusia masing-masing
menjadi ‘selfish’. Bayangkan, kalau sekiranya di dunia, seorang ibu sanggup
berkorban asal anaknya selamat tetapi di akhirat nanti seorang ibu sanggup
mengorbankan anaknya untuk memastikan dia
yang selamat. Dalam keadaan begitu, ada seorang lelaki yang begitu sibuk dan perihatin terhadap manusia-manusia yang sedang dihisab ini. Di tempat penimbangan amal, lelaki tersebut akan mengambil amalan solehnya lalu meletak amalan solehnya ke atas timbangan amal baik manusia. Mana-mana manusia yang amalan baiknya sudah berat, maka menjadi bertambah berat dan terangkatlah darjatnya dalam syurga. Mana-mana manusia yang timbangan baiknya ringan, akan menjadi berat amalan baiknya dan terselamatlah dia dari neraka. Maka hairanlah manusia yang mendapat habuan ‘amal soleh’ itu tadi lantas
bertanya lelaki tersebut kenapa dia sanggup memberi amalan solehnya kepada
orang lain? Apa jawab lelaki itu? “Tidakkah engkau pernah berselawat kepadaku
di dalam solatmu?” Tabaarakallah, sesungguhnya amat benarlah, Allah sengaja
memberi sebab untuk kita masuk kesyurgaNya dengan mewajibkan bacaan selawat di
dalam solat. Selawat itu telah menjadi sebab untuk kita mendapat syafaat Baginda
Rasulullah s.a.w maka berselawatlah sentiasa. Bukan kah orang yang bercinta akan sering menyebut-nyebut nama orang yang dicintainya?
Rasulullah s.a.w amat mencintai umatnya. Umatnya
yang tidak pernah ditemui, itulah yang dirinduinya. Kerinduan Baginda yang
mendalam terhadap umat Baginda, umat yang datang selepas kewafatan Baginda,
umat yang sering disebut-sebut sehingga mengundang rasa cemburu para sahabat.
Moga kita, anda dan saya termasuk di dalam mereka yang dirindui Nabi,
dicemburui oleh para sahabat itu…
------------------------------------
12 Rabiul Awal bakal menjelang tiba. Di setengah
negeri 24hb Jan adalah hari cuti umum. Apa kata kita sebarkan bahagia, rasa
gembira kita? Tempah 100 cup cakes yang comel-comel. Pergi ke pasaraya atau
tempat awam yang ramai orang. Agih-agihkan kek tersebut. Kalau bekerja, agihkan
kepada rakan sepejabat baik dari kalangan orang Islam mau pun yang bukan Islam.
Kiranya di tanya kenapa bagi-bagi kek ni? Sambil memberikan senyuman paling manis, jawab aje “ Hari ini hari lahir Nabi
Muhammad s.a.w. Saya ingin berkongsi rasa gembira saya sempena kelahiran
beliau”. Titik
No comments:
Post a Comment