AL-KAABAH AL MUSHARRAF

AL-KAABAH AL MUSHARRAF

Monday, September 24, 2012

Kisah kelakar ibunda-ibunda kita



Di ceritakan menjelang wafat Baginda s.a.w, Rasulullah memanggil para isteri Baginda. Maka berkumpullah para isteri2 Nabi. Melihat keadaan Baginda sebegitu, ada di kalangan para isteri Nabi yang bertanya “Siapakah diantara kami yang paling cepat menyusul mu, ya Rasulullah?”. Ia lah. Sudah ada tanda perpisahan mereka di dunia. Masing-masing teruja untuk cepat menyusul bersama Baginda di syurga. Jadi siapa yang paling cepat meninggal selepas Rasul maka dialah yang akan lebih dahulu bertemu Baginda.
Lalu Rasulullah s.a.w menjawab “Orang yang paling panjang tangannya diantara kalian”.
Apalagi, para ummahatul mukminin (ibunda2 kita) pun mula lah mengambil tongkat dan mengukur-ukur tangan antara mereka untuk melihat tangan siapa yang paling panjang (riaksi biasa para isteri2. Bayangkan, para isteri kecoh2 mengukur tangan masing2, siapa lebih panjang, kau ke aku. Kelakar kan?) dan ternyata tangan Saudah yang paling panjang.
Namun beberapa waktu sesudah Rasulullah saw wafat, justeru yang menyusul beliau adalah Zainab binti Jahsyi, bukannya Saudah. Dan barulah para ummahatul mukminin faham apa yang di maksudkan ‘bertangan panjang’ adalah orang yang paling banyak menghulurkan tangannya untuk membantu orang lain, dan Ummu Zainab memang terkenal sebagai isteri Nabi yang paling banyak bersedekah dengan harta yang di milikinya.
Orang yang paling banyak bersedekah adalah orang yang paling di dekat dengan Allah, dekat dengan syurga. Takkan berkurang harta yang sedekah ~ akan bertambah, akan bertambah..(eh eh…termenyanyi lagu Opick pulak).
Hari ini saya mengulang baca surah al-Baqarah. Ayat 261. Ayat yang mencerita secara terperinci bagaimana cara kita nak bersedekah/ berinfaq di jalan Allah. Penceritaanya diceritakan oleh Yang Maha Pencerita dengan cara yang sangat indah, sangat detail. Kalau dah berinfaq, apa balasannya. Berapa bonusnya. Bagaimana sepatutnya sikap kita bila berinfaq ~ jangan menyebut2, jangan mengungkit2, jangan menunjuk2, jangan menyindir2 orang yang kita sedekahkan. Kalau tak nak bagi, tolak dengan cara baik. Jangan pulak kita cemuh2 sakitkan hati orang yang meminta. Kalau nak bagi, elok bagi terang2 ke, sembunyi2? Nak bagi, pilih yang elok2, jangan yang kita dah tak nak tu, yang tu kita bagi (gulp!). Semuanya di jawab oleh Allah.  
Nak tahu tafsirnya saya godek2 kotak hitam dan jumpa tafsir yang sangat BEST oleh Dr Ismail Lutfi Patani. Aduh….kelas tafsir yang begitu indah hanya di lawati oleh sekitar 30-115 org viewers sahaja!!!
Kalian yang baca tulisan saya ni, jangan lupa tengok youtube ini ya! Sambil-sambil masak, boleh dengar. Dan kita doa kan juga kepada saiburiy yang meng’upload’ youtube ini agar Allah berikan beliau sebaik2 ganjaran di dunia dan akhirat.
http://www.youtube.com/watch?v=p4Lz93F9-a8&feature=plcp


Saya cuba salin text Arab al-Quran. Baca text Arab lagi best kan? Tapi tak dapat. Ada sesiapa yang dapat bagitahu saya caranya?Sebagai ganti, saya sertakan terjemahannya sahaja dari ayat 261-274. 13 ayat semuanya berkenaan infaq di jalan Allah.
 
[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
[262]
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[263]
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.
[265]
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
[266]
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
[267]
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[268]
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[269]
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
[270]
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
[271]
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[272]
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
[273]
Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.
[274]
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita







 

No comments:

Post a Comment