Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah daku ke dalam golongan orang-orang yg saleh, dan jadikanlah daku buah tutur yg baik bagi org-org yg datang kemudian, dan jadikanlah daku org yg mempusakai syurga yg penuh keni'matan.... asy-syu'araa:83-85
AL-KAABAH AL MUSHARRAF
Monday, October 10, 2011
Raudhah bukan hanya di Madinah
Musim haji menjelang lagi. Kala ini dimaklumkan kumpulan KT1 telah masuk ke Mekah mulai semalam, manakala kumpulan-kumpulan jamaah dari KT-KT seterusnya makin ramai yang tiba ke Madinah. Yang telah melewati Madinah, pastinya mereka ke Mekah dengan memori indah Madinah. Yang masih di Madinah, mereka sedang asyik mengutip pahala ibadat serta mengambil barokah berdoa di tempat-tempat mustajab, manakala yang belum tiba tertunggu-tunggu dengan penuh teruja.
Antara tempat mustajab doa di Madinah ialah di Raudhah. Berdasarkan hadis Nabi s.a.w bahawa “Diantara rumahku dan mimbarku adalah sebahagian Taman Syurga”- (Muttafaq ‘Allaih). Para jamaah pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir dan bersolat di Taman Syurga yang Allah sediakan di dunia ini.
Kawasan Raudhah amat kecil, hanya seluas 22x15m shj. Kawasan Raudhah ini di bezakan dengan warna karpet hijau. Bagi jamaah wanita ada jadual waktu untuk masuk bersolat di sana. Kekangan waktu dan keluasan yang terbatas ini menjadikan kawasan Raudhah sebagai tempat ujian kesabaran para jamaah. Tidak hairanlah cerita-cerita perebutan, penindihan dan langkah-melangkah ketika sedang sujud sering kedengaran. Manusia berebut-rebut, bertolakan untuk masuk ke Taman Syurga ini.
Sebenarnya SEMUA dari kita boleh hadir ke Raudhah tanpa perlu ke Madinah. Mana mungkin Allah Yang Maha Adil menjadikan Raudhah itu milik segolongan orang sahaja? Bagaimana pula dengan mereka yang belum berpeluang menjejakkan kaki ke Madinah?
Bukankah Nabi kita ada bersabda:
Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Apabila kamu melintasi taman-taman syurga hendaklah kamu berhenti singgah" Para sahabat bertanya:"Apakah itu taman-taman syurga?"Jawab baginda:"Majlis Zikir." (Riwayat at-Tirmidzi)
Ayuh kita penuhi Raudhah Allah. Raudhah yang ini ada di mana-mana. Majlis ilmu dan majlis zikir ada di mana-mana. Berdoa semasa di majlis ilmu juga merupakan detik berdoa yang mustajab kerana semasa kita berada di majlis ilmu, turut bersama dengan kita adalah para malaikat. Para malaikat ini akan mengaminkan doa kita dan membawa doa kita untuk dipersembahkan kepada Allah.
Menghairankan kiranya kita hanya berlalu pergi melewati majlis ilmu tetapi berebut-rebut ketika berada di Masjid Nabi dengan alasan mengambil tempat bersolat serta memohon doa di Raudhah. Kita tidak perlu menunggu ke Madinah untuk berdoa di Raudhah kerana Raudhah itu sebenarnya berada dekat dengan kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment