AL-KAABAH AL MUSHARRAF

AL-KAABAH AL MUSHARRAF

Monday, September 10, 2012

Cerita haji yg belum diceritakan

Jika anda perasan, sekarang siaran televisyen sudah mula bercerita tentang Musim Haji. Slot-slot di radio, slot agama masing-masing bercerita dan membincangkan aktiviti ibadah haji. Bahang musim haji sudah terasa. Perjalanan haji saya sudah berlalu 3 tahun lepas, tetapi bila sebut sahaja ‘musim haji’. ‘dapat panggilan haji’, ‘rakan-rakan atau saudara mara yg dijemput menjadi tetamu Allah’ hati saya terus berdebar-debar. Adakah anda turut merasa apa yang saya rasa? 

Saya ingin berkongsi cerita haji saya yang masih saya belum ceritakan dalam Travelog Haji saya….
Di Mekah, saya mempunyai ‘port’ kegemaran saya. ‘Port’ tempat untuk saya solat itu saya pastikan betul-betul menghadap kaabah. Masa solat, saya mahu nampak kaabah . Saya nak tengok kaabah. Saya ingin mengutip pahala cara mudah. Tidakkah Rasulullah s.a.w bersabda;”Allah menurunkan kepada jemaah Haji di Baitullah Al-Haram setiap hari adalah sebanyak 120 rahmat: 60 rahmat untuk orang-orang yang tawaf, 40 rahmat untuk orang-orang yang mendirikan sembahyang dan 20 rahmat untuk orang-orang yang melihat kepada Kaabah”. Lantaran itu saya mewajibkan diri saya untuk sentiasa berada di tingkat bawah yang selari dengan kaabah.

Menceritakan pengalaman saya bersolat tingkat bawah. Jamaah kebanyakannya terdiri dari mereka yang datang dari India, Pakistan dan Turki. Ada juga dari Iran dan Indonesia. Jarang saya bertemu jamaah Malaysia. Pada satu ketika solat Asar, saya bersolat di apit oleh jamaah dari India. Maaf tetapi entah minyak apa yang di pakai menyebabkan saya amat tidak tertahan baunya. Saya cuba mengawal diri saya. Dalam hati berkata-kata “Masya Allah bau apa laa pulak ni…”. Saya mengawal hati dari terus berkata-kata agar ia tidak merosakkan ibadah dan pahala saya. Saya berdoa “ Ya Allah Ya Tuhanku, hamba sedar semua mereka di sini adalah tetamu Mu. Mereka datang atas jemputanMu. Mereka sama sama di sini mencari redhaMu atau mungkin mereka lebih baik dari hamba.Tetapi Ya Allah, hamba amat tidak tertahan dengan bau mereka Ya Allah. Janganlah kerana itu menyebabkan hatiku menjadi kotor dan merosakkan pahala ku . Hamba mohon Ya Allah agar Engkau tetap memelihara kesucian hati ku. Hamba mohon agar Engkau tempatkan hamba bersama hamba-hambaMu yang wangi-wangi sahaja Ya Allah” begitulah lebihkurang nya permohonan saya. Kerana sesungguhnya saya tidak tertahan dengan bau mereka.

Untuk solat Maghrib saya bertukar ke ‘port’ kegemaran saya. Seperti biasa, port tersebut sudah pun di penuhi dengan jamaah Turki. Dengan badan saya yang lebih kecil, lemparkan senyuman dan minta izin, saya senang diberikan ruang oleh jamaah yang ada. Alhamdulillah. Sementara menunggu masuk waktu Magrib, ruang solat kian dipenuhi. Yang pandai bersopan akan meminta izin ruang. Ada pula yang langsung menyelit masuk tanpa tawar menawar. Riaksi yang diterima oleh jamaah yang sudah duduk juga berbeza-beza. Berbagai karenah dapat diperhatikan. Memerhatikan gelagat yang berbagai-bagai jamaah, bagi saya amat menghiburkan. (Oh ya… antara doa saya yang tidak putus-putus semenjak saya di Malaysia lagi ialah saya berdoa agar Allah mengurniakan saya peristiwa yang manis-manis sahaja, kenangan yang indah-indah sahaja ).

Seingat saya ada 2 jamaah dari Indonesia di hadapan saya, sebaris dengan mereka jamaah dari Turki. Di baris yang sama, selang beberapa orang dari jamaah Indon di hadapan saya itu ialah seorang gadis awal 20an. Susuk rupanya saya mengagakkan beliau dari Turki. Berwajah putih bersih, tidak jemu di pandang. Saya leka memerhatikan gadis itu. Mana-mana sahaja jamaah wanita yang baru datang meminta duduk, di izinkan oleh beliau untuk duduk walaupun ruang solat beliau menjadi semakin lama semakin keci. Dengan wajah yang manis tanpa sebarang riak muka tidak senang, wanita mulia ini terus mengizinkan sesiapa sahaja yang memintakan ruang. Hati saya berkata “Aduh, indah sekali budi dan akhlak beliau”. Teringat saya jamaah Malaysia (maaf, bukan semua)yang merungut-rungut bila di minta ruang.

keadaan saf mengadap kaabah (biasanya di penuhi oleh
jamaah dari Turki)

Bangun untuk solat Maghrib, saf di betulkan. Ternyata walaupun bersesak, setiap jamaah mampu mendapat tempat sujud yang selesa. Ketika solat Maghrib inilah saya terhidu wangian yang teramat wangi. Wangian yang terlalu wangi sehinggakan ia mengganggu solat Magrib saya. Saya tidak mendapat khusyu kerana hati saya tertanya-tanya siapakah gerangan pemakai minyak wangi tersebut. Hati saya berkata, selesai solat nanti, saya akan tanya apakah jenama wangian tersebut kerana saya akan cari dan beli wangian berjenama sama nanti.

Usai solat saya cuba merapatkan duduk saya kearah gadis tersebut kerana saya menyangka bauan wangi itu datang dari beliau. Ternyata beliau tidak memakai apa-apa wangian. Saya seterusnya mencuit jamaah Indonesia di hadapan saya dan bertanya “Ibu, ibu ada bau wangi ngak?” “Enggak…nggak bau apa-apa... “ jawab ibu indon tersebut sambil di iakan oleh rakan sebelahnya. “Aduh ibu….baunya terlalu wangi ibu…. Hinggakan saya nggak khusyu solat saya kerana tertanya-tanya baunya datang dari mana. Saya kira, bauan wangi itu dari gadis sebelah, tapi ternyata bukan dari dia.” “ Oh…gadis itu. Wajahnya cantik sekali. Budinya indah, persis malaikat”, tambah ibu Indonesia. Bahkan, bersihnya wajah gadis itu, indahnya akhlak nya persis malaikat, itu sahaja yang dapat saya gambarkan di sini.

Sesungguhnya saya rindukan suasana saf solat semasa di al-haram. Tiada ruang kosong antara jamaah. Bahu rapat ke bahu. Menepati sabda al-Rasul yang bermaksud “ Daripada Ibnu Umar r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: “Hendaklah kamu luruskan saf, maka sesungguhnya buatlah saf seumpama saf para Malaikat, samakan di antara tumit-tumit kamu dan penuhi ruang-ruang kosong, lemah lembut dengan tangan saudara kamu, jangan biarkan ruang-ruang kosong untuk dipenuhi oleh syaitan, siapa yang menyambung (merapatkan) saf, maka Allah akan menyambungkannya, dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskannya.” (Riwayat Ahmad, an-Nasaie, Abu Daud dan Hakim)”. Di Malaysia, tidak sekali saya mendapat reaksi negatif jamaah apabila meminta mereka merapatkan saf.

5 hari selepas hari tasyrik, kami bersiap untuk pulang. Semasa di lapangan terbang Jeddah, saya mendapat haid pertama . Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah menjawab doa saya yang meminta ditangguhkan pusingan haid saya sehinggalah saya selesaikan haji saya. Seminggu berlalu dan saya kemudian bersedia untuk solat semula. Pertama kali saya mengangkat takbir untuk solat di rumah saya, hati saya berdebar-debar. Jiwa saya tiba-tiba terasa kosong. Saya rindukan kaabah. Mata saya rindukan kaabah. Mata saya mencari-cari di manakah kaabah itu yang selama ini di tatapnya. Dan ketika itu air mata saya jatuh dengan laju tanpa boleh di tahan-tahan lagi. Satu kerinduan yang mengatasi rindu segala-galanya. ….


p/s : buat sahabat/rakan/sedara mara yang akan menjadi tetamu Allah di tahun ini, murnikan niat. Cubalah lakukan sebanyak mungkin tawaf sunat, kalau tak mampu, ambil spot untuk lihat kaabah kerana anda tetap akan mendapat pahala hanya dengan melihat kaabah. Bermujahadahlah. ketepikan rasa untuk merasa selesa kerana keselesaan boleh kita perolehi di mana-mana, tapi pahala melihat kaabah, hanya dapat kita perolehi di sini.

1 comment:

  1. amat beruntung mereka yg dapat menunaikan haji, dan pada waktu yg sama hati mereka tunduk kepada AllaH S.W.T

    ReplyDelete