Sejak beberapa hari yg lepas, hati saya berasa kosong. Saya tidak tahu kenapa.
Walaupun Al-Quran setiap hari saya pastikan membacanya, solat Dhuha saya tak tinggal. Tabung infaq Palestin yg ada di sudut tamu rumah saya, dengan akurnya saya cuba isi setiap pagi dan tatkala melihat program “Fattabiuni” atau “lau kaa na bainana” airmata saya akan pasti mengalir laju, tapi solat saya terasa kosong. Puas sudah saya cuba fokuskan penumpuan saya semasa solat, tapi saya tidak mendapat kekhusyukan itu. Solat saya hambar. Saya terasa terawang-awangan semasa solat, sedar balik ‘kebumi’ hanya setelah saya memberi salam. Astaghfirullahal ‘azim.
Solat yang berkualiti akan memberi tenaga kepada saya; rohani dan jasmani saya. Semangat saya tinggi, hati saya ceria, badan saya bertenaga. Dan sebaliknya berlaku ketikamana solat saya tiada kualiti. Kerana itu saya mesti pastikan saya mendapat kembali kelazatan solat itu.
Alhamdulillah, syukur dgn kedatangan 27 Rejab. Sejak 2 hari yang lepas saya banyak mendapat suntikan tentang solat. Apa jua program agama di TV akan bercerita tentang Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Buka radio ikim, tetamu jemputan akan bercerita tentang Isra’ dan Mi’raj. Ke Masjid, Ustaz bercerita Isra’ dan Mi’raj. Banner yg tergantung me-war2kan ceramah iktibar peristiwa Isra’ dan Mi’raj di sana sini.
Isra’ Mi’raj adalah peristiwa paling hebat yang dilalui oleh Baginda al-Rasul s.a.w. Ketika mi’raj inilah Rasulullah mendapat watikah kefardhuan solat. Langsung dari Allah subhanahu wa ta’ala. Tanpa sebarang perantaraan. Peristiwa ajaib naik ke mi’raj yang di lalui oleh Rasulullah s.a.w mampu kita alami menerusi solat yang khusyu’. Itu yang di sebut oleh Baginda al-Rasul “Solat itu mi’raj bagi orang mu’min”. Masya Allah, tidak dapat digambarkan keadaan mi’raj orang mu’min bertemu dengan Allah ketika solatnya. Mengadap dan berbicara dengan Al-Khaliq, langsung tanpa perantara.
Imam al-Ghazali menceritakan perihal solat yang khusyu’ ini bagaikan kain putih yang di lipat kemas, di angkat ke langit untuk dipersembahkan kepada Allah dan di terima dengan penuh hormat oleh para malaikat. Manakala solat dengan hati yang lalai umpama kain kotor bergumpal, di sambut oleh malaikat di langit pertama dan dilemparkan kembali ke muka orang yang hatinya lalai tatkala mengerjakan solat itu tadi. Amat hina sekali lagaknya.
Solat yang dipandang enteng oleh ramai manusia. Sedangkan solat itu adalah sepenting-penting bukti pengabdian kita kepada Yang Maha Pencipta.
Solat adalah perkara pertama yang di hisab oleh Allah. Solat adalah anak kunci syurga. Buatlah benda baik banyak mana pun, sekiranya tidak solat, kita tidak dapat membuka pintu syurga kerana kita mempunyai kunci yg salah. Kunci yang ada ditangan kita bukanlah kunci pintu syurga. “Awal-awal perkara yang dihisab atas hamba pada hari Kiamat ialah solat. Maka sekiranya solat itu elok nescaya eloklah lain-lain amalannya (diterima Allah), dan sekiranya solat itu rosak nescaya rosaklah lain-lain amalannya (ditolak oleh Allah).”
Mana ada ibadat selain solat yang Allah suruh kita buat walaupun dalam keadaan sakit selain solat? Puasa, kalau kita sakit, kita ada kelonggaran untuk tidak melakukannya. Tapi ianya tidak begitu dengan solat. Walau sakit bagaimana sekalipun, kita tidak ada alasan untuk tidak melakukannya. Tidak boleh berdiri, kerjakan solat dengan cara duduk, tidak boleh duduk, kerjakan sambil baring, tidak boleh bergerak, kiranya mata sahaja yg boleh digerakkan, masih MESTI menunaikan solat dengan isyarat mata.
Sebenarnya ketika sakit inilah, kita mesti lebih berusaha untuk solat, bukan beri alasan. Yang menjaga orang sakit jangan silap letak rasa simpati ~ jangan simpati lihat orang sakit untuk solat, tapi mesti simpati lihat orang sakit yang tidak solat. Ingatkan dan bantulah orang sakit untuk solat!
Orang kaya mesti solat, yang miskin juga tiada sebab untuk tidak solat. Panas, sejuk, solat mesti buat. Bersyukur kita berada di Malaysia, tiada halangan cuaca.
Kalau takut, atau susah, kita masih boleh menangguhkan urusan haji kita ke Mekah. Tapi tidak dengan solat. Walau dalam keadaan takut sekalipun di medan perang, Allah ajar kita cara menunaikan solat di medan perang. Susah berwudhu’ Allah ajar kita bertayammum, jauh berjalan, Allah beri kelonggaran kita solat jama’ qasar. Hilang pedoman waktu, Allah masih menyuruh kita tunaikan solat hormat waktu.
Aduh! Besarnya hak solat itu. Solat yang dilihat kecil oleh ramai manusia. Solat yang wewenangan di abaikan. Solat adalah masa kita berbicara dengan Tuhan. Solat yang sepatutnya menjadi masa intim kita dengan Pencipta.
Berkat 27 Rejab ini, semoga saya bertemu kembali dengan solat saya yg hilang itu. Mendakap semula ruh solat saya. Menikmati kembali manisnya solat itu. Mesti usahakan juga kerana solat adalah bekalan saya untuk kehidupan yang lebih panjang.
No comments:
Post a Comment