AL-KAABAH AL MUSHARRAF

AL-KAABAH AL MUSHARRAF

Thursday, February 23, 2012

Berkahwin dengan adik ipar, sanggup???



Mereka yang mengikuti fb saya tahu yg saya sekarang ini aktif mencari calon isteri untuk rakan niaga suami; warga asing dari Arab Saudi, baik agama dan pekerti, berkarisma, berpendidikan dan seorang usahawan berjaya. Owh…bukan mudah rupanya nak carikan calon isteri kepada rakan niaga suami saya ini. Ada yang sedia dikenalkan, tapi tak menepati citarasanya pula. Ada yang menepati citarasanya, dah pun kepunyaan orang atau kalaupun masih available, tak bersedia pula untuk berkahwin dengan warga asing! Ramai juga kenalan yang saya tanya yang ada anak-anak dara tidak bersedia melepaskan anak dara mereka kepada orang asing dari Timur Tengah. Bukan salah mereka, lantaran banyak berita yang kurang enak berkenaan perkahwinan dengan orang arab. Tapi Insya Allah, hati saya yakin tok Arab ini seorang yang baik dan bertanggungjawab. Kalau tidak, saya juga tak akan berani jadi match-maker.

Bersembang dengan suami dalam kereta balik dari pejabat tok arab yang terletak di tengah ibukota. Kata suami saya, orang arab tidak memandang wanita janda. Apatah lagi sekiranya janda itu mempunyai tanggungan anak-anak. Walaupun suami saya berbangsa Arab, beliau berasal dari Somalia dari daerah (suku?) Ogaden. Budaya masyarakat Ogaden amat berbeza dengan budaya arab amnya. Masyarakat Ogaden tidak melabelkan janda. Mereka tidak melihat masa silam seseorang kerana bagi mereka masa silam adalah masa yang lepas. Tidak kira berapa kali seseorang wanita itu diceraikan, yang penting masa depan. Kata suami saya, dia kenal wanita Ogaden yang bercerai beberapa kali dan sudah pun mempunyai beberapa orang anak, masih tetap disunting orang. Ada yang sampai lapan sembilan kali kahwin pun masih ada jodoh lagi!

Satu lagi budaya unik yang diamalkan oleh masyarakat Ogaden ini ialah apabila berlaku kematian seorang suami, saudara lelaki sebelah arwah suami akan secara otomatik mengahwini balu simati (asalnya kakak atau adik ipar). Adat ini diamalkan untuk memastikan kemaslahatan anak yatim setelah kematian bapa itu dijaga. Wanita (balu) itu pula terjaga dan dilindungi dengan terhormat melalui hubungan yang sah tanpa fitnah.

Saya mengagumi masyarakat Ogaden ini dalam urusan tolong menolong. Sepanjang perkahwinan saya, saya perhatikan mereka amat mengambil berat antara satu sama lain. Somalia merupakan Negara yang tidak pernah aman. Lantaran itu, ramai rakyat Somalia yang berhijrah. Ke Australia, ke Norway, Canada, Qatar, Kenya, NZ dll. Suami saya juga memegang British passport. Tidak hairanlah dimana sahaja suami saya pergi pasti ada kenalannya. Mana-mana yang berhijrah, yang telah berjaya ditempat baru akan menghantar wang bagi membantu mana-mana kenalan yang memerlukan bantuan. Saya difahamkan ramai pelajar Somalia di UIA belajar tanpa biasiswa tapi dibantu dengan wang yang dihantar oleh kenalan.

Teringat saya masa awal perkahwinan dahulu. Terkejut suami saya apabila mendapat tahu istilah “pinjamkan wang”. Pada mereka, tiada istilah “pinjam”, yang ada ialah istilah “beri”. Yang ada “memberi” kepada yang tiada. Yang senang “memberi” kepada yang susah. Hebat bukan?

Dan berbalik kpd topic awal….saya masih mencari calon isteri utk rakan Arab suami saya ini. Wanita berpendidikan berumur lewat 20an hingga pertengahan 30an. Yang ada calon, atau yang berminat bolehlah hubungi saya melalui fb!

dan....saya tiba-tiba rindukan Abdul Rahman dan Abdul Rahim serta keluarga Dhahir yg jadi tuan rumah semasa saya ke Mekah 2009 lalu. Pembaca sekelian, doakan saya dapat segera ke sana lagi ya! Saya rindukan 2 Abdul tu!