AL-KAABAH AL MUSHARRAF

AL-KAABAH AL MUSHARRAF

Saturday, September 10, 2011

Saya nak derma lagi lah!

Tempat biasa tabung derma Palestine saya adalah disini, di sudut kerusi tepi tingkap. Untuk raya tahun ini saya mengambil strategi berbeza dari tahun lepas. Saya bukan saja akan bagi duit raya pada anak-anak yg ketuk pintu nak duit raya, tapi saya akan menerapkan juga kepada mereka indahnya bersedekah.

Cerita bermula. Jiran saya Salmi berziarah raya bersama anak-anaknya. Duduk di kerusi berhampiran meja dekat dengan tabung, Salmi mengambil tabung sambil menimbang-nimbang berat tabung. Melihat tangan sudah di tabung saya lantas membuat 'pengumuman' untuk sesiapa yang ingin membuat sumbangan. Anak-anak Salmi mendahului dengan masing-masing memasukkan duit raya mereka ke tabung.
Jiran Pakistan saya, Salma yang kebetulan ada di majlis turut memasukkan not biru (sudah tentu not biru yg lebih besar ;-D). Beliau memang sebelum ini ada menyatakan hasratnya untuk memberi sedekah, rupanya sedekahnya tertakdir untuk warga Palestin!

Kumpulan anak anak seterusnya yg datang ke rumah saya. 3beradik beserta seorang rakan. Selepas menjamu selera, saya membuka cerita tentang Palestin. Tentang peperangan disana,tentang kesusahan anak-anak Palestin yang kematian bapa, kehilangan abang. Tentang susahnya mereka nak dapat ubat, tentang susahnya mereka nak ke sekolah. Kita wajib tolong mereka. Salah satu cara kita boleh tolong mereka ialah dengan bagi derma.
"Awak boleh derma?" saya mula bertanya.
"Boleh, tapi saya tak ada duit."
"Ok...Kalau teacher bagi kamu RM2 duit raya, kamu boleh bagi derma?"
"Boleh!" Akhirnya setiap dari mereka memasukkan RM1 dari duit raya yg saya beri tanpa berfikir dua kali.

Selepas mereka anak-anak Syed blok sebelah datang. Hanya si abang sulung yang memasukkan derma. Yang lain agaknya masih belum faham. Tak mengapa.

Kumpulan dua beradik lelaki datang kemudiannya. Halim dan Hakim. Anak-anak yang bijak tapi loyar buruk bila masa belajar mengaji(hihihi). Sambil menikmati kuih raya, tangan si abang mencapai tabung derma.
"Haa..Aman Palestin," Kata Halim, si abang.
"Awak tahu ke negara Palestin?", tanya saya
"Tahu! tempat yang ada perang tu. Dekat sekolah saya hari tu orang Aman Palestin datang. Banyak gambar teruk-teruk mereka tunjuk. Dalam TV takde tunjuk pun. Budak-budak kat situ berani. Dengan kereta kebal pun mereka berani lawan!! Lempar batu je", Sambung si abang bersemangat sedang si adiknya khusyuk menikmati mee goreng.
"Kita boleh tolong mereka dengan bagi derma. Awak boleh bagi derma?" saya masukkan jarum.
"Boleh! Dek, jom kita bubuh duit 50sen kita dapat tadi."
Dan mereka memasukkan syiling duit raya yang mereka dapat dari rumah sebelumnya. Selesai makan,waktu yg ditunggu-tunggu iaitu waktu menadah duit raya. Saya hulurkan RM1 duit kepada mereka sambil berkata,"ini seringgit duit raya teacher, dan ini lagi seringgit duit Allah ganti lebih banyak sebab awak bagi sedekah. Awak sedekah 50sen, tapi Allah ganti seringgit." saya nampak mereka seronok mendapat duit berganda.

Sementara saya bersiap untuk solat asar, terdengar lagi suara kanak-kanak diluar memberi salam sambil memanggil "Assalamualaikum teacher". Sudah bertelekung, saya membuka pintu. Seorang kanak-kanak india, Rajesh datang bersama 2 org kanak-kanak lain tidak pernah saya lihat sebelumnya. Rajesh saya kenal kerana dia pernah mengikuti aktiviti Explorace anjuran Surau awal tahun ini. Rajesh budah baik. Semoga Allah berinya hidayah.
Saya beritahu mereka saya nak solat. Tapi si abang cuma kata, "Tak apa kami nak beraya aje. Dah kenyang." Saya menyuruh mereka masuk dan makan biskut raya yg ada. Saya perasan si adik amat gemar biskut tart manakala Rajesh dan si abang tidak menyentuh makanan. (terlupa pula saya tanya nama abang adik ini).
Adik masih makan biskut, abang sudah sibuk kata "nak duit raya. nak duit raya"
Saya lihat dalam tangan mereka sudah ada beberapa nota biru serta sampul angpow. Sambil mengunjukkan tabung derma Palestin saya berkata,"Tengok ni di Palestin, kesian kanak-kanak kat sana. Kena tembak. Bila sakit, tak ada ubat."
"Mana-mana?" Kata si adik
"Ni..." kata saya sambil menunjukkan gambar yg terdapat di tabung derma
"Siapa yg tembak?"
"Ni...askar-askar Israel." Unjuk saya lagi.
Sampuk si abang "Teacher, nak duit raya"
Saya kata "Awak boleh bagi derma tak kat mereka? Buat beli ubat. Awak bagi derma dulu, nanti teacher bagi duit raya."
"Boleh." tanpa teragak, Si abang mula memasukkan duit rial seringgit, diikuti oleh si adik dan Rajesh.
Selepas ketiga-tiga masukkan duit, saya keluarkan duit raya yg baru. "Ha...ini seringgit, duit raya...dan ini seringgit lagi duit sebab awak dah bagi derma tadi. Tuhan ganti balik duit awak."
"Wah! dapat dua ringgit!" jerit si abang. Teruja."Saya nak derma lagi lah!" Katanya sambil mula memasukkan duit seringgit yang komot di tangan ke dalam tabung.
"Nah! Ini duit ganti duit awak derma!" Kata saya sambil menghulurkan duit baru
"Nak derma lagi!" Sambil memasukkan lagi duit diikuti dengan saya menghulur kepadanya duit raya yang baru. "Nak derma lagi!" dan si abang memasukkan duit seringgit di ikuti dengan saya menggantikan kepadanya duit yang baru berulang lebihkurang 5 kali (bermakna dia telah memasukkan RM5 dan saya memberikan kepadanya duit yang baru sebanyak 5 kali). Akhir sekali dia membelek lagi duit raya dan memasukkan RM3 sekaligus, mengandaikan ini dermanya terakhir saya memberikannya RM4 iaitu bonus seringgit sambil memberitahunya Allah akan ganti duit derma kita dengan lebih banyak.
"Saya pun nak derma lagi jugaklah" Kata Rajesh sambil memasukkan RM5 dan sebagai balasan saya memberinya RM6.
Si adik yang dari tadi memerhatikan si abang memasukkan derma berkali-kali mula menyampuk. "Adik pun nak derma lagi jugak. tapi adik ada 2ringgit je..."
dan si abang lalu berkata "tak apa. adik masukkan duit adik" dan menakjubkan saya, tanpa berkira-kira si adik langsung menggulung duit dua ringgit yg dia ada itu dan memasukkan ke tabung.
Saya bertanya si adik "awak masukkan berapa ringgit?"
"Saya ada 2 ringgit je". jawabnya
"Awak bagi sikit pun tak apa. Yang penting, kena ikhlas...Sebab awak ikhlas, Allah ganti..3 ringgit!!" Kata saya sambil menyerahkan kepadanya 3ringgit.
Melihat duit yg si adik dapat, si abang mula membuka semula duit raya dalam genggamannya, dan melihat gelagat si abang, saya menjangka si abang akan berkata "saya nak derma lagih!"
saya terus memintas.."Dah. dah :)) teacher nak solat asar dah :-D. Kamu semua anak-anak yang baik. Kamu mesti ingat....Satu...Jangan lokek. Kalau orang minta derma atau sedekah. Mesti bagi. dan dua...jangan risau kalau kamu bagi derma. sebab bila kamu bagi derma Tuhan akan ganti laagi banyak! Ok?"
"Ok" jawab mereka. Keluar dan ketuk rumah jiran sebelah pula.
Ooops...saya lupa nak ambik gambar anak-anak ini! dan mereka bergambar dengan tabung di luar pintu rumah. Ya Robb..Saya harap anak anak ini akan ingat pelajaran hari ini sehingga mereka besar.